Saya mula menulis sejak umur saya 18 tahun. Mula mengenali usrah semasa memasuki matrikulasi, saya bertemu dengan rakan rakan dan senior senior hebat di dalam bidang pengucapan dan juga penulisan. Saya tidak pernah tahu yang saya mempunyai bakat menulis (walaupun rakan sekelas semasa di tingkatan 5 pernah menyuarakan bahawa cara penulisan karangan Bahasa Melayu saya sama gaya dengan tulisan majalah. ini gara gaya terlalu banyak membaca majalah muslimah, al islam dan seumpamanya dahulu.)
Sehinggalah suatu masa, seorang senior saya bertanya kepada kami junior junior, siapa yang mahu menjadi lebih baik dan bersedia untuk dilatih untuk menulis. Saya beranikan diri untuk menerima cabaran. Saya masih ingat, artikel pertama yang diberikan kepada saya untuk ditulis bertajuk "Adakah Malaikat itu Islam?"
Maka bertungkus lumuslah saya yang berusia 18 tahun ketika itu mencari bahan bacaan dan kitab yang berkaitan untuk dibaca dan ditelaah. Pinjam sana dan sini, sehingga dipinjam bible daripada Perpustakaan UPM ketika itu. Saya pun dah lupa samada saya sudah pulangkan bible itu belum ke raknya. Tiada notifikasi daripada UPM semasa saya keluar melanjutkan pelajaran ke Mesir, maknanya sudah dipulangkan lah kot. ahahah
Siaplah satu artikel ketika itu dan saya hantar tulisan tersebut kepada emel senior saya dengan memo "ini sahaja yang saya mampu". Dan disebabkan itu, saya dimarahi olehnya. Kata dia, kalau saya sudah usaha lakukan dengan sedaya upaya saya dalam menjalankan tugas, maka simpulkan ia dengan "inilah yang terbaik yang saya mampu buat", bukan dengan ayat tadi. kerana ia mencerminkan keyakinan diri dengan hasil kerja buat kita.
Maka bermulalah perjalanan saya sebagai penulis. Mulanya di friendster, beralih ke blog, instagram, twitter. Banyaknya di facebook. Sehingga ada yang viral seperti yang saya tulis di post sebelum ini. Banyak juga kisah kisah di balik tabir. Dihentam, dikecam itu sudah pernah. Dipuji juga ada. Menulis surat permohonan maaf kerana kontroversi tulisan juga menjadi satu memori berharga dalam perjalanan sebagai penulis ini.
Orang kata, nak menulis, mesti rajin membaca.
Betul.
Kalau mahu hasilkan tulisan bermutu, ada gaya, ada konten yang bagus dan berkualiti, kena banyakkan membaca.
Bukan sekadar membaca untuk mencari ilmu, tetapi belajar bagaimana menulis dengan betul, bagaimana menulis supaya orang mahu membaca sehingga habis, bagaimana untuk mempengaruhi orang, meyakinkan manusia
Saya tak pernah dapat dan tak pernah mengikuti mana mana kursus atau latihan rasmi untuk menulis. Saya belajar daripada pembacaan. Daripada ramai penulis penulis di dunia maya. Antaranya tulisan Tuan Amin Ahmad yang sekarang sudah menjadi YB, tulisan Ust Hasrizal daripada blognya, tulisan Al Irfan Jani, Tuan Khairul Hakimin dsb. Saya belajar untuk meringkaskan idea, dengan pemilihan perkataan yang berkuasa dan betuldengan penulisan di twitter. Saya belajar untuk menulis cerita dan dialog untuk menyedapkan penceritaan melalui blog saifulislam.com. Di situ juga saya belajar, analogi dan perumpamaan memberi kefahaman yag lebih kepada pembaca.
Begitulah cara saya mencari ilmu.
Melalui zaman zaman muda tersebut dan melihat kerencaman manusia yang terlalu buruk di media sosial, saya menghargai satu lagi ilmu yang saya belajar daripada Tuan Al Irfan Jani, iaitu teknik untuk me'meram'kan tulisan.
Ya.
Peram tulisan sehingga masak.
Tuan Al Irfan memberi banyak sebab dan alasan kenapa teknik ini sangat penting kepada penulis, agar satu satu idea itu dapat diterjemahkan ke dalam bentuk perkataan dengan baik dan mendapatkan hasil yang berkualiti.
Tetapi, teknik ini benar benar berguna untuk saya kerana satu sebab.
MENGHINDAR PENGARUH EMOSI DI DALAM PENULISAN.
Ya.
Menjadi seorang Aisyah ini, ramai yang mengenalinya sebagai seorang yang sangat beremosi di dalam perkataan dan tindakannya. Dan ianya juga boleh dirasakan di dalam gaya penulisan saya.
Maka, kerana sudah berpengalaman dengan pelbagai episod suka duka dalam bidang ini, saya sangat mengusulkan kepada penulis penulis baru untuk mengaplikasikan teknik peraman ini.
Penulisan semasa emosi sedang bergelojak dan membara cenderung untuk menyalahkan orang, mencari siapakah punca kepada masalah, menyindir, menghentam dan sebagainya. Kita akan mengorek sampai ke liang lahad siapakah yang bersalah di dalam satu satu perkara sehingga akhirnya tiadalah gunanya tulisan tersebut selain menjadi tempat orang berpesta mengutuk dan menghentam si pelakunya.
Jadilah ianya sudah bukan lagi tentang "what is right and what is wrong. But who is right and who is wrong."
Sedangkan perkara yang sama, jika ditulis tanpa emosi boleh menjadi satu tulisan yang sangat bagus dan memberi pengajaran kepada orang ramai. Tetapi kerana hanya satu faktor emosi sahaja, ianya berubah menjadi tempat manusia berjemaah berbuat kefasadan.
Maka berusahalah untuk menunggu dan bersabar dalam menulis.
Satu satu idea baik, belum tentu baik jika ditulis dengan tidak baik.
Tulisan yang baik pula mungkin menjadi buruk jika dikeluarkan semasa bukan pada waktunya aka, timing yang salah.
Begitulah.
Itu hukum dalam seni berkomunikasi.
Juga rukun dalam dakwah :)
ps: tulisan saya ini tidak diperam. harapannya, ianya adalah satu tulisan yang baik untuk semua.
Comments
Post a Comment