Skip to main content

SALAH BERDOA?


Tadi, saya terdengar satu benda yang buat saya sangat sentap dan tersentak daripada radio IKIM.

Ustad yang bagi ceramah tu cakap, manusia ni kebanyakannya silap berdoa bila menerima ujian. Ramai dari kita, bila Allah duga dengan sesuatu, doa doa kita yang pertama tamanya selalunya berbunyi, "Ya Allah. Permudahkan urusanku."

Betul kan?

Saya pun macam tu.

Bila tayar kereta saya pecah semasa memandu sendirian di lebuh raya tahun 2016 dulu, perkara yang saya terfikir awal awal adalah, "Ya Allah. Bagilah ada sesiapa berhenti untuk tolong aku tukar tayar ni."

Ye lah. Kita perempuan. Memang ayah dah ajar cara tukar tayar. Tapi lupa sebab tak pernah buat kan. Tepi lebuh raya lagi. Dengan pakai baju kurung. Susahnya rasa masa tu. Sorang sorang lagi.

Memang nak menangis. Tapi tahankan aje.

Tapi rupanya, ustad kata, doa itu doa yang silap.

Cuba tengok kisah nabi Musa, bila mana Allah perintahkan baginda bertemu dengan Firaun (Taha:24).

Bayangkan, Nabi Musa kena berhadapan dengan Firaun.

Seorang Raja sebuah negara besar. (Seperti USA sekarang) Dan Firaun itu bermusuh dan berdendam dengan Nabi Musa sejak sebelum baginda lahir lagi. Dan Nabi Musa juga pernah terbuat silap terbunuh ahli tribe Firaun.

Sedang baginda hanya seorang anak yatim, si pengembala kambing. Bayangkan besarnya dugaan yang perlu baginda tempuh.

Semasa itu, apa doa PERTAMA baginda?

"Ya Allah. Lapangkanlah dadaku." (Taha:25)

Selepas itu, barulah baginda minta untuk dimudahkan urusannya (Taha: 26)

Bila diuji, perkara pertama yang baginda minta bukanlah untuk dipermudah dan dikecilkan masalah, tetapi supaya Allah melapangkan dadanya yang sedang gelisah.

Ya kawan kawan.

Ujian kita itu sebenarnya boleh jadi sedikit sahaja jika mahu dibandingkan dengan orang lain.

Tetapi oleh sebab jiwa kita terlalu kecil, terlalu sempit untuk menerimanya, ia serasa besar sehingga mampu meremukkan jiwa.

Sebelum minta Allah mudahkan masalah kita, mintalah dulu Allah lapangkan dada. Sebab disitulah letak duduknya ketenangan.

Ada orang, di kelilingi masalah negara pun, dia tenang.
Ada orang, diuji dengan nyamuk pun sudah boleh mengamuk membakar kelambu.

Tenang itu bukan bila tiada masalah.
Tetapi bila kita percaya tiada yang buruk jika ia datang dari Allah.




Comments